Tuesday, 16 February 2010

JOM BEDAH BUKU............

Nama kitab : Masa Depan Islam Di sebalik Kegelapan dan Kezaliman yang

Berpanjangan

Penulis : Ustaz Mustafa Masyhur

Penyusun : Izzat Jazar

Bilangan ms : 87


Buku ini merupakan himpunan maqalah yang ditulis oleh Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin ke-5, Ustaz Mustafa Masyhur yang telah diterbitkan dalam surat-surat khabar, risalah-risalah IM dan majalah dakwah. Maqalah ini dikumpulkan dan disusun oleh Izzat Jazar dan dinamakan dengan nama salah sebuah maqalah yang terkandung di dalamnya.


Maqalah ini kesemuanya ditulis oleh Ustaz Mustafa Masyhur untuk memberi galakan dan dorongan kepada para pejuang Islam amnya dan anggota IM khususnya serta membangkitkan semangat dan cita-cita demi Islam.Beliau mengingatkan janji Allah bahawa Islam satu hari nanti akan menjadi agama yang dijulang satu hari nanti meskipun Islam pada hari ini dilihat berada dalam kegelapan dan kezaliman.


Antara isi penting yang digarap oleh Ustaz Mustafa Masyhur dalam maqalah-maqalah ini ialah pentingnya para pejuang Islam hari ini mempunyai cita-cita yang luas dan keyakinan yang tinggi terhadap perjuangan dan masa depan Islam.Ini kerana agama Islam merupakan satu-satunya agama yang dijanjikan oleh Allah kemenangan dan agama yang dipelihara dan diterima oleh Allah sehinggalah hari kiamat nanti.


Selain itu juga, beliau menegaskan bahawa Islam merupakan agama yakni manhaj hidup yang menyeru umat Islam sejagat berbuat baik di atas muka bumi dan melarang umatnya berbuat kerosakan. Islam merupakan agama yang mempunyai ketamadunan yang paling tinggi dan mencakupi seluruh bidang kehidupan manusia.


Beliau juga menekankan bahawa peperangan umat Islam pada hari ini bukanlah seperti peperangan senjata seperti yang dilalui oleh umat-umat terdahulu. Tetapi peperangan umat Islam pada hari ini adalah secara halus iaitu serangan pemikiran. Maka kita sebagai penganut agama yang suci ini hendaklah berwaspada dan berhati-hati serta berusaha untuk menghidupkan dan mengembalikan roh Islamiah dalam diri masing-masing. Perkara ini amatlah penting supaya kita terhindar dari serangan ini terutama dari pihak yahudi yang tidak henti-henti melakukan serangan terhadap umat islam dari segenap sudut. Sejarah terdahulu juga telah membuktikan bagaimana kerajaan- kerajaan Islam terdahulu telah jatuh akibat dari kurangnya penghayatan Islam dalam diri dan kehidupan terutamanya dari kalangan pemimpin negara.


Beliau juga mengingatkan peranan kita pada hari ini sebagai mujaddid untuk menghilangkan segala syubhat dan kekeliruan yang dilemparkan oleh musuh pada agama Islam.


Dalam maqalah tamadun kita dan tamadun mereka, Ustaz Mustafa memberitahu bagaimana berbezanya tamadun Islam berbeza dangan tamadun-tamadun lain.Tamadun Islam dibina atas dasar mentauhidkan Allah. Ini bertentangan dengan tamadun lain yang dibina atas dasar keturunan dan kebendaan semata-mata demi untuk meraih pangkat dan kebahagian di dunia yang fana ini semata-mata.


Konklusinya, buku ini wajarlah dimiliki dan dibaca oleh setiap yang beragama Islam khususnya pada semua pejuang yang bercita-cita untuk menegakkan kalimah tauhid Lailahaillah di atas muka bumi ini..Wallahuallam..

0 comments:

Post a Comment