Saturday, 6 March 2010

MENANTI DI ALAM BARZAKH......

Alunan merdu dan mendayu alunan fajar sayup-sayup kedengaran berkumandang dari corong speaker masjid Syuhada’. Entah bagaimana, sebuah memori dulu menerjah masuk ke segenap ruang sanubariku. Hati dipagut sayu terkenang pada dua insan istimewa yang pergi meninggalkan aku dikala aku ‘berperang’ di medan jihad tholabul ilm ini. Untuk entri ini biarlah aku berkongsi jiwa dan rasa mengenai jaddahku (panggilan cucu-cucu buat nenek tersayang)…

Kejayaan jaddah (perkataan bahasa arab bermaksud nenek ) dalam mendidik anak menjadi inspirasi buat orang sekelilingnya. Dalam bahasa mudahnya, semua anaknya ‘menjadi’. Anak sulung lelakinya, melanjutkan pelajarannya ke UK, anak sulung perempuannya ke UITM dan enam lagi yang berbaki meneruskan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu sangatlah aku kagumi. Ada satu ketika (ketika aku di bangku sekolah rendah), disebabkan keinginan belajar yang membuak-buak, jaddah dan jad telah bermukim selama beberapa bulan di Mesir untuk menuntut ilmu.


Kenangan itu bersemadi dalam lubuk fikiran

Walaupun aku tiada disisi beliau ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir aku masih punya kenangan tersendiri bersamanya. Tiga tahun bersekolah asrama di Terengganu menyebabkan aku antara cucunya yang selalu pulang menjenguknya di kampung (walaupun kadang-kadang mengelat lari rumah member).

Setiap malam, sebelum tidur akan kedengaran suaranya membaca ayat suci al-Quran. Usai sahaja mengaji dia akan bersolat sunat dan seterusnya tidur. Pada waktu pagi sebelum azan berkumandang sekali lagi akan kedengaran suaranya membaca qalamullah. Masuk sahaja waktu fajar, jaddah akan masuk ke kamarku, mengejutkan aku untuk bersiap-siap ke surau. Pagi jumaat, selepas sahaja kami bersarapan nasi dagang berbalutkan daun pisang, maka kami akan bersiap-siap untuk ke Masjid Rusila untuk mendengar kuliah mingguan Tuan guru Haji Abdul Hadi b. Awang.

Begitulah antara rutinku apabila pulang ke kampung. Teringat antara topik perbualan kami di meja makan adalah jaddah akan bertanyakan padaku apakah lauk yang aku pandai masak. Jad pulak sibuk menguji ‘mufradat’ bahasa arabku.Testing power bahasa arab mesirnya barangkali, detikku dalam hati. Aku dengan muka yang dibuat-buat confident, menjawab segala soalan…


Saat-saat terakhir dalam hidupnya

Sudah kira-kira setahun lebih tahun jaddah pergi meninggalkan kami setelah terlantar sakit berbulan-bulan di hospital USM Kubang Kerian.’Sengaja’ dipanjangkan waktu sakitnya. Mungkin untuk memastikan kami puas berbakti kepadanya sebelum beliau pergi meninggalkan kami.

Agak terkilan kerana aku antara cucunya yang tidak sempat mencurahkan bakti disaat-saat akhir hidupnya.Mungkin ALLAH sengaja ingin member peluang pada cucu-cucu dan anaknya-anaknyanya yang lain;yang akan pulang ke kampung pada cuti-cuti panjang sekolah sahaja kerana faktor jarak yang agak jauh.

Diceritakan padaku detik-detik akhirnya (oleh abangku didalam blognya), awalnya didiagnosis dengan penyakit misteri, sebelum disahkan menghidap kanser darah, yang tidak lama kemudian melepasi penjara sumsum tulang, memasuki darah dan bergerak ke otak. 7 atau 10 hari maksimum, kata Doktor. Bergilir-gilir lapan beradik, cucu, cicit, tok-tok saudara dan lain-lain kerabat menjaga beliau. Ayah yang merupakan anak sulung, dan abang sebagai cucu lelaki sulung, memainkan peranan setakat terdaya. Sehingga akhirnya Jaddah tidak lagi mengenali individu-individu yang berada di sekeliling. Yang tinggal dalam memori ialah,

“Yoh, ambil kangkung belakang rumah, celur. Jangan bagi Ani ambik, dia kecik lagi.”

“Gi kedai tepi pantai tu, beli ikan nak masak singgang.”

“Jangan lupa tempah rencah Kohilal satu kotak.”

Menu-menu masakan yang digunakan buat membesarkan anak-anak satu era terdahulu di dalam kehidupannya. Malah omong-omongnya kadangkala meruntun jiwa apabila kasihnya pada anak-cucu ditonjolkan dengan meminta air dibancuhkan untuk kami yang disangkanya ‘bertandang ke rumah’. Teringat wafatnya Rasulullah, memanggil-manggil yang paling dikasihinya walaupun sedang berdepan dengan sakaratulmaut. Kadang-kadang tangan Jaddah menyapu-nyapu udara, sebelum dilekapkan tangannya ke muka, digosok-gosok tangan sampai ke lengan dan disentuh sedikit telinga. Subhanallah. Jaddah dalam keadaan separa sedar sedang berwudhu’ sebelum tangan mengangkat takbir. Walaupun pergerakan solatnya melompat dari takbiratul ihram kepada tahiyat akhir dan salam, kami yakin Allah mengetahui hasratnya menghabiskan usia dengan menjadi hamba yang berterusan merendahkan diri serendah-rendahnya di hadapan Pencipta. Selesai solat dipanggil suami ke sisi. Suami yang berada jauh di rumah.

“Abi, Abi..mari sini Abi. Mana Abi? Suruh Abi angkat Jaddah ni”..

Sebelum bertukar menjadi;

“Tolong pergi rumah Tok Ma Milah, ambik air mawar, kapur barus dengan batik lepas..”

Jaddah mula tercungap-cungap. Tepat jam 1.17pagi, 15 Disember 2008, Jaddah kembali ke pangkuan Kekasihnya dengan senyuman terukir di bibir. Jaddah disolatkan oleh Tuan Guru Nik Aziz, dan meninggalkan seorang suami, 8 orang anak dan 44 orang cucu. Semoga rohnya dicucuri rahmat..

Jaddah…

Nantikan kedatangan cucunda di sana…

Sesungguhnya kematian itu pasti….

Sesungguhnya kematian itu sangat dekat….

Maka wahai diri, persiapkanlah dirimu dan bekalanmu…

‘CUKUPLAH MATI SEBAGAI PERINGATAN

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

(AL-ANBIYA:35)

0 comments:

Post a Comment