
Sejarah Penubuhan HELWANIS
Menyedari peri pentingnya peranan wanita dalam pembentukan sebuah masyarakat, maka atas kesedaran tersebut Hal Ehwal Wanita Islam (HELWANIS) PERMATA telah ditubuhkan. HELWANIS yang baru bergerak setahun jagung ditubuhkan pada tahun pada sesi pentadbiran 2009/2010 oleh mantan Timbalan Presiden 2, Ustazah Siti Basyirah Bt Ibrahim . HELWANIS ditubuhkan bukanlah untuk mengangkat martabat wanita ataupun memperjuangkan hak-hak wanita, tetapi HELWANIS berperanan untuk memperkembangkan potensi yang sedia ada pada mahasiswi PERMATA, seterusnya memperlengkapkan mahasiswi PERMATA dengan segala macam senjata sebelum terjun ke dalam masyarakat yang lebih majmuk di Malaysia nanti.
Fokus Helwanis Sesi Ini
Dengan kebejatan masalah sosial yang makin membimbangkan di tanah air, HELWANIS cuba memperbaiki dan meningkatkan kemahiran pengucapan awam dalam kalangan mahasiswi PERMATA. Kelemahan menyampaikan ilmu yang dilihat agak ketara perlu diberi perhatian dan usaha-usaha perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan berterusan.
Kemahiran memperlengkap diri dengan ilmu-ilmu kemahiran berorganisasi dan pengetahuan semasa juga diberi perhatian pada sesi ini. HELWANIS berharap dapat melahirkan mahasiswi PERMATA yang peka dengan perkembangan semasa tanah air khususnya dan berita-berita peringkat antarabangsa umumnya, seterusnya menyatakan pendirian dan memainkan peranan yang sepatutnya apabila berhadapan dengan situasi-situasi tersebut samada masih berada di luar negara atau pun ketika sudah pulang ke tanah air nanti.
Kedudukan Wanita Sebelum Kedatangan Islam
Menelusuri kedudukan wanita sebelum kedatangan Islam, maka dapat kita lihat bagaimana rendahnya kedudukan wanita ketika itu. Cukuplah jika dilihat bentuk-bentuk perkahwinan yang wujud ketika zaman jahiliah. Diriwayatkan Abu Daud daripada Aisyah Radiallahu Anha perkahwinan ketika jahiliah terdapat empat jenis :-
Pertama : Perkahwinan yang wujud seperti hari ini
Lelaki yang ingin berkahwin akan berjumpa dengan wali wanita tersebut dan menyampaikan hasratnya. Jika wali perempuan tersebut bersetuju, maka lelaki tersebut akan membayar mahar dan mengahwininya.
Kedua : Berkata seorang suami pada isterinya : Selepas engkau bersih daripada haid,
maka akan aku hantar kamu pada seorang lelaki dan hendaklah kamu bersekedudukan dengannya. Selepas itu, suaminya akan mengasingkan dirinya daripada isterinya dan tidak akan menyentuhnya sehinggalah dia mendapati isterinya hamil hasil persetubuhan dengan lelaki ajnabi tersebut. Jika dia mendapati isterinya hamil, maka dia akan menggauli isterinya jika dia mengkehendaki.
Ketiga : Sekelompok lelaki akan dikumpulkan dan akan bersekedudukan dengan seorang perempuan. Maka apabila perempuan tersebut hamil dan bersalin, kesemua lelaki tersebut akan dikumpulkan dan perempuan tersebut akan memilih mana-mana lelaki yang disukainya untuk dinasabkan pada anak tersebut.
Keempat : Seorang perempuan pelacur akan meletakkan bendera dihadapan rumahnya. Bendera ini menandakan dia bersedia bersekedudukan dengan mana-mana lelaki yang berkehendak sedemikian. Maka selepas beberapa tempoh dan disahkan mengandung dan bersalin, dia akan mengumpulkan kesemua lelaki yang pernah bersekedudukan dengannya. Pelacur tersebut akan melihat lelaki mana yang meyerupai anaknya dan akan dinasabkan anak tersebut kepada lelaki tersebut..
Selain itu juga, pada zaman jahiliah lelaki bebas berkahwin dengan seberapa ramai wanita yang dikehendakinya. Begitulah antara gambaran buruk dan keji kedudukan wanita di zaman jahiliyah. Wanita diperdagangkan seperti barang dagangan, tiada nilai dan dipandang hina dalam masyarakat.
Kedudukan wanita selepas kedatangan Islam
Firman Allah Taala :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٍ۬ وَٲحِدَةٍ۬ وَخَلَقَ مِنۡہَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡہُمَا رِجَالاً۬ كَثِيرً۬ا وَنِسَآءً۬ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبً۬ا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
(An-Nisa :1)
وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا وَجَعَلَ لَكُم مِّنۡ أَزۡوَٲجِڪُم بَنِينَ وَحَفَدَةً۬ وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِۚ أَفَبِٱلۡبَـٰطِلِ يُؤۡمِنُونَ وَبِنِعۡمَتِ ٱللَّهِ هُمۡ يَكۡفُرُونَ
Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: Anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?”
(An-Nahl: 72)
Islam datang dan mengangkat darjat wanita , menghapuskan segala macam bentuk kezaliman jahiliyah dan wanita, menerangkan hukum hakam dan hak-hak berkaitan wanita.
Al-Qur’an menerangkan penciptaan manusia lelaki dan perempuan daripada asal yang sama iaitu Adam alaihissalam untuk saling melengkapi antara satu sama lain, kedua-duanya mempunyai tanggungjwab yang sama, saling bantu membantu menegakkan agama-NYA.
Islam mengharamkan segala bentuk perkahwinan yang menjatuhkan maruah dan kedudukan wanita dan menegaskan perkahwinan mestilah bertunaskan mawaddah dan rahmat. Islam juga mengharamkan pembunuhan anak perempuan sebagaimana diharamkan darah lelaki, diharamkan juga darah perempuan.
Kemudian didatangkan hukum hakam baru berkaitan pembahagian harta pusaka, perkahwinan, talak, nafkah, hak pejagaan dan penyusuan. Selain itu rasulullah mengangkat kedudukan wanita melalui beberapa kisah seperti baiah Aqabah yang telah menyaksikan dua wanita telah mengikat janji setia dengan Rasulullah untuk menegakkan agama Islam. Rasulullah juga membenarkan wanita berhijrah ke Madinah bersama suami mereka. Firman Allah SWT :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّبِىُّ إِذَا جَآءَكَ ٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ يُبَايِعۡنَكَ عَلَىٰٓ أَن لَّا يُشۡرِكۡنَ بِٱللَّهِ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يَسۡرِقۡنَ وَلَا يَزۡنِينَ وَلَا يَقۡتُلۡنَ أَوۡلَـٰدَهُنَّ وَلَا يَأۡتِينَ بِبُهۡتَـٰنٍ۬ يَفۡتَرِينَهُ ۥ بَيۡنَ أَيۡدِيہِنَّ وَأَرۡجُلِهِنَّ وَلَا يَعۡصِينَكَ فِى مَعۡرُوفٍ۬ۙ فَبَايِعۡهُنَّ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُنَّ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬
Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun dan mereka tidak akan mencuri dan mereka tidak akan berzina dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
(Al-Mumtahinah : 12)
Peranan Wanita Sebagai Anggota Masyarakat
Selepas kedatangan Islam juga telah diterangkan peranan wanita sebagai seorang ibu dan peranannya sebagai seorang anggota masyarakat. Menyingkap sejarah bagaimana Khadijah salah seorang penghulu segala wanita di syurga mendokong bersama-sama perjuangan baginda dalam menyebarluas dakwah Islam. Dengan menggunakan pengaruhnya beliau melindungi Rasulullah daripada ancaman kafir Quraisy.
Sejarah perjuangan Islam juga telah mencatatkan bahawa pada permulaan dakwah Islam telah muncul segolongan muslimah yang membantu dan menjadi sayap perjuangan.Antara mereka ialah :-
1.Ummu Al- Fadhli binti Harith
2.Asma’ binti Umais ( isteri Jaafar bin Abi Thalib)
3.Aminah binti Khalid (isteri Khalid bin Said)
4.Fatimah (isteri Abu Ahmad bin Jahsyin)
5.Asma’ (isteri Iyyasy Bin Abi Rabiah)
6.Sumaiyyah binti Khayyat (isteri Yasir bin Ammar)
7.Fatimah Binti Khattab (Adik Umar al-khattab)
8.Hafsah binti Umar (Isteri khurasi’ bin huzaifah)
9.Fatimah (isteri khatib bin al-Harith )
10.Fukaihah ( isteri khattab al kharith)
11.Ramlah ( isteri Abdullah bin maz’un)
Maka tanggapan bahawa wanita hanyalah berperanan sebagai seorang isteri dan ibu sahaja adalah salah dan perlu diperbetulkan semula. Peranan seorang wanita lebih daripada itu. Siapa lagi yang mahu diharapkan untuk mendekati golongan remaja wanita yang terlibat dalam kancah zina. Siapa lagi yang mahu diharapkan mendekati golongan kanak-kanak perempuan yang tidak pernah mengenal tuhan,tidak pernah solat hatta tidak tahu mengucapkan dua kalimah syahadah dan membaca a-fatihah. Siapa lagi yang mahu diharapkan untuk mendekati golongan remaja yang bobrok akhlaknya, hiburan yang menjadi makan harian. Maka jawapannya tidak lain tidak bukan ANDA, para muslimah yang membaca artikel ini.!!
Seruan kepada Ahli HELWANIS
Bangkitlah wahai muslimatku..
Timbalah ilmu dengan sebaiknya, janganlah hanya bergantung pada pengajian dalam kuliah semata-mata. Apa yang diberikan para pensyarah dalam kelas hanyalah sebagai kunci untuk membuka pintu-pintu ilmu lain.
Persiapkanlah dirimu dengan segala macam senjata. Gagahkan kaki melangkah ke kelas tafaquh, libatkan diri anda dalam aktiviti-aktiviti persatuan untuk menjana pelbagai kemahiran-kemahiran insaniah sehingga ke hari terakhir anda berada di bumi barakah ini!!
Siiru ‘ala barakatillah.
RUJUKAN
1. Puteriku : Ust Said Muhammad Jamaluddin Bachik (Penyusun)
2.Mausu'ah Ahkamul Mar'ah Muslimah : Dukturah Nasywah 'Ilwani
3.Al-Madkhol Lidirasah Syariah Islamiah : Dr. Abdul Karim Zaidan
4.Raheeq Makhtum : Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri
catatan : artikel pengenalan HELWANIS untuk web PERMATA...
0 comments:
Post a Comment