DEFINISI AKAL
Perkataan akal di ambil daripada bahasa Arab ’al-aql’ atau ‘aqala’. Perkataan ‘aql telah digunakan oleh bangsa Arab sebelum kedatangan agama Islam atau agama sebelum agama Islam. Kamus Dewan dan Pustaka memberi definisi akal adalah budi, fikiran, daya upaya, ikhtiar, muslihat atau tipu daya. Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) memberi 4 pengertian akal iaitu daya fikir, daya upaya, tipu daya dan cara-cara memahami persekitaran. Kamus-kamus bahasa Arab pula memberi maksud akal (secara harfiah) sebagai pengertian al-imsak (menahan), al-ribath (ikatan), al-hijr (menahan), al-nahy (melarang) dan man ‘u (mencegah). Ibn manzhur memberi pengertian al-‘aql dengan 6 pengertian iaitu akal fikiran, Menahan, mencegah, membezakan, tali pengikat, dan ganti rugi. Daripada pengertian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa akal sebagai organ yang ‘mengikat’ dan ‘menahan’ objek ilmu dengan kata-kata atau bentuk-bentuk berlambang yang lain (Syed Muhammad Naquib Al-Attas).
AKAL vs OTAK
Seringkali kita merasakan bahawa otak dan akal itu adalah dua perkara yang sama, tetapi pada hakikatnya ia amat berbeza. Perbezaan otak dan akal juga memberi jawapan mengapa wujudnya mereka yang bijak pandai dalam aspek keduniaan tetapi kurang bijak dalam meneliti dan memastikan setiap perilaku dan tindakannya menurut 'arahan' tuhan. Ia juga menunjukkan sebaliknya. Ini dibuktikan melalui firman-firman ALLAH yang dirakamkan dalam Al-qur'an . Persamaan antara SEMUA manusia adalah dikurniakan OTAK tetapi yang benar
-benar terselamat pada hari kiamat nanti hanyalah mereka yang benar-benar menggunakan nikmat AKAL yang memimpin segala tindak tanduk ke arah jalan yang benar.
Dan perumpamaan-perumpamaan ini kami berikan kepada manusia. Dan tiada yang
memahaminya (ya’qiluha) kecuali orang-orang yang berilmu.
(Surah Al-‘Ankabut [29]:43)
dan mereka berkata:”Sekiranya kami mendengarkan ataupun
memikirkan (na’qilu) itu, nescaya tidaklah kami termasuk penghuni
neraka yang menyala-nyala.”
(Surah Al-Mulk [67]:10)
Sesungguhnya, seburuk-buruk mahkluk yang melata di sisi Allah
ialah mereka (manusia yang tuli da bisu, yang tidak menggunakan
akalnya (la ya’qilun).
(Surah Al-Anfal [8:22)
BAIK & BURUK ; ADAKAH AKAL YANG MENENTUKAN??
Persoalannya, adakah akal yang menjadi penentu baik dan buruknya sesuatu perbuatan?? Ulama' akidah berselisih pendapat dalam perkara ini :
Mazhab 'Asyairah :
Akal manusia tidak mampu mengetahui baik buruk sesuatu perkara melainkan dengan perantaraan rasul dan kitab. Mereka berpendapat sedemikian kerana akal manusia berbeza-beza mengikut individu. Sesetengah individu memandang sesuatu perkara sebagai baik manakala akal sesetengah individu memandang seuatu perkara sebagai buruk. Selain itu ukuran baik dan buruk seseorang selalunya akan dipengaruhi oleh hawa nafsu. Menurut mazhab ini setiap apa yang disuruh oleh syara' atau dibenarkan syara' untuk dilakukan maka ia adalah baik, manakala apa yang dilarang oleh syara' ia adalah buruk.
Mazhab Mu'tazilah :
Setiap manusia mampu membezakan perkara yang baik dan buruk menggunakan akal yang dikurniakan oleh ALLAH tanpa melalui perantaraan rasul dan juga kitab. Ini kerana setiap perbuatan manusia akan melahirkan kesan . Maka setiap perbuatan yang memberi impak positif adalah baik manakala setiap perbuatan yang memberi impak negatif adalah baik dan ALLAH akan menghukum setiap perbuatan itu berdasarkan keterbatasan akal manusia dalam menimbang baik dan buruknya sesuatu perkara.
Mazhab Maturidiah :
Mazhab ini bersifat tengah-tengah antara dua mazhab sebelum ini. Mereka berpendapat akal manusia mampu berfikir baik dan buruknya sesuatu perbuatan tanpa melalui perantaraan rasul dan juga kitab. Tetapi mereka menegaskan bahawa akal manusia terbatas dan barangkali tersilap dalam beberapa keadaan. Maka dalam keadaan ini, akal manusia berhajatkan kepada 'guideline' melalui medium rasul juga manual bertulis daripada kitab.
Perbezaan antara mazhab ini membawa kepada perbezaan beberapa hukum :
Mazhab 'Asyairah :
Setiap manusia tidak akan ditaklif dengan tuntutan melainkan setelah sampai kepadanya ajaran baginda rasulullah S.A.W.Maka ahli fatrah ( manusia yang hidup selepas kematian rasul dan mati sebelum dibangkitkan rasul yang lain) tidak ditaklifkan kepada mereka tuntutan dan tidak dihukum ke atas perbuatan mereka baik atau buruk.
Mazhab Mu'tazilah :
Setiap manusia yang sampai kepadanya ajaran rasul, maka WAJIB ke atasnya melakukan segala tuntutan tersebut. Setiap manusia yang tidak sampai kepada mereka ajaran dan dakwah rasul, maka mereka akan dihukum berkadaran dengan kemampuan akal mereka yang digunakan secara salim.
Perlu difahami bahawa perbezaan pendapat antara ulama' akidah dalam hal ini HANYAlah kepada mereka yang TIDAK sampai ajaran rasul. Manakala bagi mereka yang sampai ajaran rasul dan kitab, maka ulama SEPAKAT mengatakan bahawa ukuran baik dan buruk sesebuah perbuatan bukan terletak pada akal tetapi menurut apa yang disampaikan oleh syariat melalui perantaraan rasul dan juga kitab.
Membicarakan tentang hal ini juga, rata-rata antara kita bukanlah golongan yang disebut sebagai ahli fatrah mahupun mereka yang tidak sampai kepada kita ajaran rasul( penduduk asli & pedalaman mungkin terkecuali). Buktinya al-qur'an yang telah ALLAH janji akan dipelihara hingga ke hari kiamat sudah berada dalam tangan kita, hanya tunggu dipelajari, dibedah & diamalkan isinya.
AKAL & Maqasid Syariah
Akal merupakan satu daripada dharuriyat lima yang dipelihara oleh syara' ( agama, harta, akal, nyawa & maruah) . Syariat itu datang untuk memelihara akal dan syara' juga sangat menekankan aspek menggunakan nikmat akal dengan sebaik-baiknya. Para ulama dalam membicarakan soal akal juga bukan hanya menimbang tara persoalan adakah seseorang itu berakal atau tidak tetapi apa yang lebih penting adalah adakah akal itu digunakan dengan jalan atau cara yang betul.
Sebagai contoh dalam persoalan muamalat, terdapat beberapa golongan yang dihalang daripada melakukan transaksi walaupun mereka mempunyai AKAL. Antaranya orang yang mabuk, orang yang membelanjakan hartanya dengan cara yang salah dan berlawanan dengan akal yang waras (pembaziran yang melampau ). Ini membuktikan orang yang berAKAL tidak semestinya mampu berfikir dengan waras dan menggunakan nikmat AKAL kurniaan TUHAN dengan sebaik-baiknya.
Selain bidang muamalat, mari kita lihat dalam aspek kehidupan kita seharian. Sejauh mana kita menggunakan akal sebelum bertindak..?? Juga perlu diingatkan ketika membuat proses timbang tara mana yang baik dan mana yang buruk, akal perlu menggunakan panduan wahyu bukannya hawa nafsu. Akhlak & adab seharian merupakan refleksi sejauh mana kita mengikat setiap tindak tanduk berdasarkan akal. Rata-rata kita mempunyai akal tetapi seringkali bersikap seperti orang yang kurang akal atau lebih sadis TIADA akal.
Jom Guna Logik AKAL
Ibarat kita menumpang di tanah orang, enggan mengikut arahan dan peraturan tapi dalam masa kita ingin menggunakan kemudahan yang ada di tanah tersebut..
Kita menumpang di tanah kepunyaan ALLAH, berlagak dan sombong tidak mahu mengikut 'peraturan'. Perintah yang disuruh dipandang enteng malah menceroboh pula kawasan larangan. Dalam masa yang sama tanpa segan silu menghirup oksigen percuma setiap saat, berjalan diatas bumi kepunyaan ALLAH, makan dengan rezeki yang tumbuh & melata dengan izin-NYA.
Ibarat juga mempunyai seorang sahabat yang hanya mencari sahabatnya ketika berada dalam kesusahan tetapi apabila dilimpahi kesenangan lantas dia tenggelam dan melupakan sahabatnya.
Begitulah perumpamaan yang diberikan kepada manusia dalam surah Fussilat :
'' Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan dan kalau dia ditimpa KESUSAHAN maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah). (49) Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah dia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah dia (dengan sikap tidak bersyukur): Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata) dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)! Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya. (50) Dan apabila Kami kurniakan NIKMAT kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila dia ditimpa KESUSAHAN, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar. (51)''
Kesimpulan
Berfirman ALLAH dalam kitab yang agung :
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا. أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلَّا كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلًا
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka Apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?, Atau Apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)”.
(Al-Furqan:43-44)
Secara tuntasnya, setiap manusia dikurniakan AKAL, terpulang pada kita bagaimana kita menggunakan nikmat tersebut. Hargailah nikmat tersebut sebelum ia menjadi tidak berguna apabila dihadapkan dihadapan ALLAH di padang masyar kelak. Ketika itu penyesalan tiada lagi gunanya.
Rujukan
1. Muhadarah Ahkam Waqaf wal Hibbah , Dr. Syuesh
2.Ilm Usul Fiqh, Dr Abd Wahhab Khalaf
3.Madkhal Lidirasah Syariah, Dr Abd Karim Zaidan
0 comments:
Post a Comment