
Masyarakat yang rabbani itu tidak lahir secara spontan tetapi ia adalah hasil usaha dan payah jerih yang dilakukan secara sistematik dan berperingkat-peringkat oleh pelbagai organisasi dakwah. Tugas yang dimainkan oleh organisasi-organisasi dakwah ini telah bermula seawal perjuangan menuntut kemerdekaan sehinggalah ke saat ini. Keunikan yang ada pada Malaysia adalah kepelbagaian organisasi dakwah yang wujud dan fungsinya yang saling bantu-membantu serta saling melengkapi antara satu sama lain.
Antara peranan yang dimainkan oleh gerakan dan organisasi ini boleh dinilai dan dipecahkan kepada beberapa aspek. Antaranya :-
Peranan dalam aspek akidah
Jika disoroti lembaran sejarah, kita akan mendapati kisah-kisah perjuangan orang terdahulu menuntut kemerdekaan negara daripada British. Selain diperjuangkan oleh golongan nasionalis, gerakan ini juga ada yang ditunjangi oleh kumpulan ulama’ seperti Tok Janggut, atau nama sebenarnya Haji Mat Hasan Bin Panglima Munas. Fakta yang sering dihidangkan pada kita adalah bangkitnya mereka adalah kerana faktor-faktor tekanan seperti dikenakan cukai yang tinggi dan lain-lain.
Manakala, fakta yang disembunyikan daripada kita adalah bangkitnya sekumpulan ulama’ ; Hizbul Muslimin[1] yang boleh kita klasifikasikan sebagai organisasi dakwah juga adalah atas faktor seruan jihad daripada Sultan Abdul hamid. Setelah kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah, Sultan Abdul Hamid telah menghantar sepucuk surat seruan jihad pada seluruh pejuang gerakan di seluruh dunia. Maka, apa yang boleh disimpulkan adalah kebangkitan para ulama’ dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman British bukanlah semata-mata disebabkan tekanan cukai yang tinggi tetapi ia adalah satu kebangkitan berteraskan akidah dan seruan jihad untuk membebaskan negara daripada cengkaman orang kafir iaitu British.
Selain itu, peranan organisasi dakwah di Malaysia dalam aspek akidah juga dapat dilihat melalui usaha memerangi ajaran-ajaran sesat di Malaysia. Antara kes yang popular adalah ajaran sesat yang dibawa oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya rasul Melayu, Abdul Kahar. Ekoran aduan yang diterima ramai, Majlis Agama Islam Selangor telah membuat tangkapan dan akhirnya selepas melalui sesi perbicaraan di mahkamah , ‘Rasul’ Kahar dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16500 serta enam sebatan[2]. Begitu juga dengan Ajaran sesat Ayah Pin juga telah mengejutkan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bersama Jabatan Agama Islam Negeri telah menggembleng tenaga bagi menangani masalah ini. Antara usaha yang dilakukan adalah mengadakan muzakarah membanteras ajaran-ajaran sesat mengikut zon, mengadakan pantauan dari semasa ke semasa termasuklah di internet, mengambil tindakan daripada aduan-aduan yang dilakukan, menyenarai pendekkan ajaran-ajaran sesat di Malaysia dan lain-lain lagi.
Peranan dalam aspek menangani gejala sosial
Gejala sosial boleh dihuraikan sebagai satu keadaan atau cara hidup yang bertentangan atau berlawanan dengan ciri budaya dan nilai-nilai keagamaan dalam sesebuah masyarakat. Ia wujud apabila suasana yang tidak bermoral dan berakhlak wujud dalam pelbagai aspek kehidupan dan landasan kehidupan bermula dari hubungan dan pergaulan dalam keluarga hinggalah pada aspek kepercayaan dan pegangan hidup. Gejala sosial juga tidak terbatas pada satu golongan sahaja , malah berlaku di semua peringkat sama ada tua, muda, kaya, miskin, berpendidikan tinggi dan rendah. Antara masalah dan gejala sosial yang banyak melanda terutama muda mudi sekarang adalah pergaulan bebas yang akhirnya terjerumus ke kancah penzinaan, gengsterisme, budaya lepak, hedonisme, seks songsang dan lain-lain lagi.
JIM menerusi sayap kiri wanitanya mengasaskan Raudhatus Sakinah (RS)[3] telah memainkan peranan yang amat besar dalam menangani masalah sosial remaja. Penubuhannya yang diwujudkan sebagai sebuah institusi yang memberi perlindungan dan bimbingan kepada kepada remaja yang menjadi mangsa gejala sosial. RS berusaha membantu remaja-remaja yang terlibat meningkatkan keyakinan dan keupayaan diri agar menjadi individu yang berguna kepada masyarakat dan agama.
Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan dalam usaha memberi kesedaran pada remaja telah mengadakan roadshow ke sekolah-sekolah Anda Bijak Jauhi Zina, mewujudkan rumah perlindungan remaja wanita yang kini bilangannya mencecah 5 buah, kem-kem remaja ketika cuti sekolah, forum dan seminar.
Penubuhan kelab remaja seperti Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia ( KARISMA) oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) , Kelab Remaja JIM oleh Jemaah Islah Malaysia ( JIM) dan penubuhan Nisa’ Malaysia juga membantu dalam menangani masalah gejala sosial dan mendekati golongan anak-anak muda ini. Malah peranan mereka dilihat lebih berkesan dan diminati anak muda kerana pendekatan yang digunakan bersifat ‘segar’ dan sesuai dengan jiwa anak muda.
Selain itu, dalam isu budaya seks songsang, organisasi-organisasi dakwah telah bersatu dan menyatakan pendirian dalam hal ini. Ia dibuktikan apabila isu seksualiti merdeka hangat diperkatakan, pelbagai cara dan respon telah dipamerkan. Sebagai contoh, Mursyidul Am PAS telah menyatakan dengan jelas pendiriannya dan menyatakan sokongan pada kerajaan untuk membantah festival ini. Manakala, Pertubuhan IKRAM Malaysia bersama JIM dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) telah menganjurkan wacana transformasi ummah bagi membincangkan isu ini.
Peranan dalam aspek pendidikan
Gerakan dan organisasi dakwah di Malaysia telah memainkan peranan yang besar dalam aspek pendidikan termasuklah dalam perubahan sistem pendidikan negara. Antara gerakan yang berjaya memainkan peranannya dengan signifikan adalah Angkatan Belia Islam ( ABIM ). Semasa era Anwar Ibrahim (1974-1982) menjadi presiden , ABIM telah menyampaikan Memorandum Pelajaran 1974[4] kepada menteri pelajaran ketika itu iaitu Dato’ Seri Mahathir. Dalam memorandum tersebut telah diletakkan beberapa cadangan dan gesaan kepada kementerian pelajaran. Antara isi kandungan memorandum tersebut adalah :
- · Konsep dan falsafah pendidikan Islam
ABIM telah menganjurkan agar kementerian pelajaran menyediakan buku teks tentang konsep dan falsafah pendidikan Islam untuk rujukan para guru dan pelatih di maktab perguruan. Ini penting agar tugas guru bukan hanya semata-mata menyampaikan ilmu sahaja tetapi mendidik agar anak bangsa dapat mengimplementasikan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian selaras dengan ajaran Islam
- · Mewajibkan mata pelajaran agama Islam
Dalam memorandum ini, ABIM telah menggesa pihak berkenaan untuk mengkaji semula kedudukan mata pelajaran ini dalam sistem pendidikan negara juga penstrukturan semula sukatan agar ia lebih berkesan dan memberi impak pada sahsiah pelajar. Selain itu, ABIM mencadangkan agar subjek ini dijadikan subjek wajib ke atas semua pelajar Islam dan bukan Islam dari sekolah peringkat rendah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Cadangan ini dilihat amat wajar kerana dengan ini, ia dapat memberi nilai dan kepentingan kepada pendidikan akhlak.
- · Masalah kekurangan guru-guru agama
Kekurangan guru agama telah memberi kesan pada sekolah-sekolah. Dalam memorandum ini, ABIM mengesyorkan agar mengadakan kursus-kursus pada guru-guru agama dan yang lebih penting menubuhkan maktab perguruan Islam dengan tujuan melatih guru-guru agama mengajar di sekolah-sekolah.
- · Penubuhan Universiti Islam di Malaysia
ABIM mendesak kerajaan membuat satu pendirian tentang penubuhan universiti Islam di Malaysia seterusnya menggesa penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji dan menyediakan laporan lengkap mengenai perkara ini.
Hasil daripada usaha ini, beberapa perkembangan yang baik telah berlaku dalam sistem pendidikan negara. Antaranya, penubuhan Universiti Islam Antarabangsa pada 20 Mei 1983 bertempat di bangunan Kolej Islam Malaysia di Petaling Jaya. Seterusnya penubuhan maktab perguruan Islam pada tahun 1990.
Selain itu, organisasi dakwah di Malaysia telah menyumbang pada penubuhan sekolah yang menjadi pusat pendidikan alternatif kepada sekolah yang disediakan kerajaan. Sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa sistem pendidikan di negara ini masih tidak dapat melahirkan modal insan yang seimbang dan holistik. Gerakan Islam ini telah membuktikan bahawa mereka sebenarnya berperanan dalam membangunkan sistem pendidikannya yang tersendiri.
ABIM merupakan antara gerakan Islam yang mempelopori bidang ini. ABIM menubuhkan taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI), kemudian diikuti Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menegah Islam, Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam yang dibuka pada orang awam. Penubuhan institusi-institusi ini telah menjadi manifestasi daripada hasrat mereka mahu menyediakan pendidikan alternatif bernadikan ajaran Islam iaitu Al-Quran dan As-sunah selain menyumbang pada idea islamisasi ilmu. Kolej Darul Hikmah yang ditubuhkan pada 15 Jun 2002 juga menjadi pemangkin untuk membangunkan tradisi keilmuan dan kegemilangan ummah dan tamadun Islam serta menjadikan Islam sebagai cara hidup.
Momentum ini telah diteruskan oleh Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang telah menubuhkan institut al-Qur’an, Dakwah Training Institute, dan institusi pendidikan rendah dan menengah seperti Sekolah Al- Amin[5]. Sekolah Al-Amin merupakan antara sekolah yang tidak asing lagi di Malaysia dan mempunyai rangkaian lebih daripada 30 buah. Sekolah yang meletakkan falsafah pendidikannya yang tersendiri iaitu tauhid sebagai asas pembinaan dan melahirkan insan yang rabbani, berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta membentuk kehidupan diri dan masyarakat berteraskan al-Qur’an dan as-sunah telah menarik perhatian segolongan besar ibu bapa. ‘Produk’ manusia yang dihasilkan dipercayai mempunyai jati diri yang lebih kuat dan berdaya tahan daripada sistem sekolah yang ditawarkan kerajaan.
Sebagaimana JIM dan ABIM, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga mempunyai sumbangannya tersendiri dalam bidang ini[6]. PASTI atau pusat asuhan tunas Islam adalah sebuah institusi pendidikan pra sekolah yang menekankan penerapan nilai-nilai Islam. Dan yang istimewanya, ia dibuka pada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang fahaman politik. Malah ada kajian yang dilakukan mendapati bahawa 70% pelajar yang mengikuti sekolah ini bukannya berasal daripada keluarga berlatar belakangkan PAS. Usaha ini diteruskan lagi apabila PAS menguasai beberapa negeri lalu ditubuhkan sekolah sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan, Kolej Sains dan Teknologi Al- Qur’an ( KOSTAQ) dan Kolej Islam Sains Terengganu( KIST ) di Terengganu . Selain itu, terdapat juga usaha penubuhan sekolah di negeri-negeri lain seperti penubuhan sekolah rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) di Kedah, Kolej Universiti Darul Qur’an di Terengganu dan mutakhir sekali penubuhan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melewar di Selangor.
Peranan dalam aspek ekonomi
Memelihara harta termasuk dalam lima perkara dharuriyat yang dipelihara oleh agama Islam. Ekonomi bukanlah sesuatu yang asing dalam konteks dakwah malah ia mempunyai hubungan yang amat rapat antara satu sama lain. Selain itu, ia juga senjata yang ampuh bagi memastikan kesinambungan perjuangan agama Islam. Perjuangan yang dilakukan oleh gerakan Islam dalam bidang ekonomi telah bermula seawal sebelum merdeka. Malah sebahagian daripada gagasan idea telah pun menjadi asas dan dorongan kepada pembangunan beberapa buah institusi ekonomi di Malaysia.
Antara kesan yang dapat dilihat pada hari ini, hasil perjuangan gerakan Islam adalah penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad[7] oleh Bank Negara Malaysia pada 1983. Walaupun peranannya sehingga hari ini masih terdapat kekurangan, tetapi sekurang-kurangnya ia telah memberi satu alternatif selain ia juga menjadi tarikan untuk orang bukan Islam juga menggunakan perkhidmatannya. Ia juga membuktikan bahawa sistem kewangan Islam dapat diuruskan secara sistematik dan menandingi sistem kewangan konvensional. Setelah ditubuhkan Bank Islam, ia disusuli dengan penubuhan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STM) pada 1984. Dalam 15 tahun sejak penubuhannya, STM telah banyak menyediakan pelbagai jenis insurans atuh syariah termasuk pelan takaful keluarga , kemalangan dan kematian.
Selain itu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YAPEIM ) , sebuah institusi ekonomi Islam juga mengorak langkah dengan pelbagai aktiviti khususnya apabila ramai ahli ABIM terlibat dalamnya. YAPEIM ditubuhkan untuk mengumpulkan sebanyak mungkin pemberian sumbangan amal jariah dan sedekah daripada sumber dan melaburkannya mengikut syariah dengan tujuan untuk meninggikan lagi pencapaian ekonomi umat Islam di negara ini. Pendapat yang diperoleh pula akan digunakan untuk membangunkan ekonomi umat Islam , melaksanakan program kebajikan. Namun demikian, sumbangan mereka secara sepenuhnya agak terhad kerana limitasi yang wujud dalam sistem ekonomi Islam dalam negara ini.
Persatuan Ulama’ Malaysia, (PUM) merupakan antara organisasi yang mengorak langkah untuk memajukan sistem ekonomi Islam. Atas kesedaran tersebut, pada 22 November 1980, PUM telah menubuhkan Koperasi Muslimin Malaysia Berhad atau nama ringkasnya Koperasi Muslimin[8]. Dengan menggariskan beberapa visi dan misi; menjalankan ekonomi berdasarkan syariat Islam, membina dan membangun ekonomi ummah melalui jemaah, menyediakan program membantu anggota memperoleh barangan dan keperluan asas secara mudah dan halal serta mengadakan rancangan pelaburan hartanah untuk menjamin ketahanan ummah dan generasi hadapan, Koperasi Muslimin sehingga hari ini berdiri teguh dengan sokongan orang Islam di Malaysia.
Pemerkasaan institusi zakat dan pengurusan wakaf telah melalui beberapa fasa. Melalui usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) , Majlis Agama Islam Negeri , Institut Kefahaman Islam Malaysia dan badan-badan NGO seperti PKPIM dan ABIM telah mengadakan pelbagai persidangan dan seminar untuk memperbaiki sistem pengurusan wakaf dan zakat serta memberi kefahaman dan kesedaran pada orang Islam[9]. Dengan pelbagai usaha yang dilakukan, institusi-institusi ini telah bergerak maju dengan sistem yang lebih baik juga dapat meningkatkan kutipan tahunan zakat dari masa ke semasa.
Antara organisasi yang kelihatan gah dari sudut ekonominya juga adalah Al-Arqam. Walaupun ia telah diharamkan kerana didapati ajarannya menyeleweng, kita masih dapat mengambil iktibar dan manfaat daripada sistem ekonomi yang diasaskan oleh mereka. Malah, Al-Arqam adalah antara gerakan dakwah terawal yang memulakan perusahaan ekonomi bagi memenuhi permintaan makanan halal daripada umat Islam yang tinggi pada ketika itu. Unit Perkhidmatan Ummah Al-Arqam[10] telah mengeluarkan produk seperti jem, serbuk kopi, kari, kicap dan lain-lain lagi. Sehingga kini, rangkaian perniagaan Al-Arqam masih wujud bukan sahaja di Malaysia, malah terdapat di beberapa negara lain lagi.
Peranan dalam aspek sistem budaya masyarakat Malaysia
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah melalui pedagang-pedagang yang datang ke pelabuhan Melaka. Selain telah menyebabkan agama Islam dianuti oleh raja dan rakyatnya, mereka juga membawa nilai-nilai murni Islam yang ditonjolkan melalui akhlak mereka. Walau bagaimanapun, setelah penjajah Barat menguasai Nusantara, pengaruh budaya barat telah meresapi dan menguasai penduduk-penduduk. Mereka telah menerapkan sistem sekular dan sistem budaya barat ke dalam cara hidup bermasyarakat orang Melayu terutama menerusi sistem pendidikan. Selain itu, terdapat juga sebahagian anak Melayu yang melanjutkan pelajaran ke negara-negara barat, lalu dibawa pulang sekali budaya yang kurang baik dalam sistem barat.
Antara peranan yang dilakukan oleh organisasi dakwah ketika itu bagi melakukan proses islamisasi dalam masyarakat adalah PAS ketika berada dalam kerajaan campuran PAS-Perikatan 1973 dan beberapa badan yang lain seperti Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah menggesa agar budaya barat seperti majlis tari-menari dan hidangan minuman keras yang sering diadakan dala majlis jamuan makan dihapuskan termasuklah budaya toast (upacara minum ucap selamat dengan wine). Dalam masa yang sama juga, badan-badan tersebut telah mendesak pihak berkuasa pengajian tinggi mengharamkan amalan-amalan berikut di universiti-universiti dan maktab-maktab.[11]
Badan-badan lain seperti Al-Arqam juga mempunyai agenda memperjuangkan sistem kebudayaan Islam. Mereka mempunyai wawasan untuk menegakkan Islam ke dalam jiwa anggota mereka dan mewujudkan sebuah komuniti Islam sebelum mewujudkan sebuah negara Islam. Bagi merealisasikan hasrat itu, mereka telah mewujudkan sebuah perkampungan Islam di Sungai Penchala, Selangor sebagai model sebuah komuniti Islam yang ideal. Selain menekankan aspek kerohanian dan pendidikan, mereka juga menekankan aspek identiti dan fizikal. Imej berpurdah dan berjubah hitam bagi Muslimah , manakala berjubah dan berserban bagi lelaki menjadi identiti mereka. Walaupun kelihatan agak ekstremis, impak positif dapat dilihat apabila masyarakat terkesan dan perlahan demi perlahan mengubah cara berpakaian mereka mengikut ajaran Islam.
Perubahan menarik yang lain dalam masyarakat Islam juga dapat dilihat menerusi pemisahan tempat duduk di antara lelaki dan perempuan dalam majlis-majlis rasmi. Pada mulanya, ia hanya dilakukan dalam majlis keagamaan sahaja, tetapi lama-kelamaan ia mempengaruhi majlis-majlis umum yang lain. Budaya bersalaman antara berlainan jantina juga mula diambil perhatian oleh sebahagian masyarakat.
Satu lagi perubahan besar adalah dalam bidang kesenian. PAS melalui kerajaan negeri Kelantan telah menguatkuasakan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan[12] dalam perkara 3.6.1. Usaha PAS secara praktikal juga dapat dilihat dengan menaja beberapa konsert hiburan termasuk melibatkan Mawi di Malam Pengisytiharan Kota Bharu sebagai Bandar raya Islam pada 1 Oktober 2005. Kehadiran lebih daripada 60 ribu penonton membuktikan bahawa sebuah konsert yang diurus mengikut peraturan yang berasaskan Islam masih boleh menarik minat manusia walaupun keberkesanan mesej dakwahnya masih boleh dipertikaikan. Pas juga mencipta sejarah apabila buat pertama kali menganjurkan Konsert Khas Wanita sempena ulang tahun pertama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam di PUTIK pada 19 November 2006. Konsert yang dihadiri oleh penonton wanita termasuk non muslim dan dikendalikan sepenuhnya oleh wanita menarik minat kira-kira 3000 orang.
Berdasarkan huraian dan contoh yang diberikan, banyak proses islamisasi yang dijalankan oleh organisasi dakwah dan gerakan Islam dalam usaha merubah sistem budaya orang Islam di Malaysia.
Cadangan dan kesimpulan
Berdasarkan pelbagai fakta dan huraian yang diberikan, terbukti organisasi dakwah di Malaysia telah memainkan peranan yang besar dalam kerangka melahirkan masyarakat Islam yang rabbani melalui pelbagai aktiviti , kegiatan kemasyarakatan dan penguatkuasaan undang-undang. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh organisasi dakwah di Malaysia agar impak dakwah ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan. Antaranya :
- Meningkatkan pengurusan organisasi yang lebih strategik dan efisen
- Mengelakkan percakaran dan perselisihan antara organisasi dakwah yang akhirnya memberi gambaran yang buruk tentang Islam dan merugikan Islam itu sendiri.
- Membuat pembahagian tugas antara organisasi dakwah bergantung pada kesesuaian isu dan masalah kerana sebahagian aspek dapat di tangani menerusi kuasa poitik, sebahagian lagi dapat diselesaikan menerusi jabatan, institusi kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan.
- Membuat pembaharuan dalam pendekatan-pendekatan dakwah yang digunakan sesuai dengan mad’u dan perubahan arus zaman dan teknologi.
Semoga dengan usaha-usaha berterusan daripada organisasi dakwah di Malaysia di samping penambahbaikan yang dilakukan tersebut mampu memberi ledakan dan impak yang lebih besar pada masyarakat Islam di Malaysia untuk mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup pada masa-masa akan datang.
[1] . Riduan Mohamad Nor, PAS dan perjuangan kemerdekaan, Jundi Resources, Kuala Lumpur, 2011, hlm. 42
[4] . Mohd Jamil Bin Mukmin, Gerakan Islam di Malaysia, Kesinambungan, respons dan perubahan (1957-2000), Pusat Penerbitan Universiti (UPENA, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, 2009, hlm. 34
[5] . BadliHisham Mohd Nasir, 2010, Pendidikan dalam Gerakan Islam : Satu Tinjauan, Journal Of Islamic and Arabic Education, 2 (1 ), 12.
[6] . Ibid, hlm. 9.
[7] . BadliHisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam dan Cabaran Semasa, Karisma Publication Sdn Bhd, Shah Alam, 2009, hlm. 124.
[9] . Mohd Jamil Bin Mukmin, Gerakan Islam di Malaysia, Kesinambungan, respons dan perubahan (1957-2000), Pusat Penerbitan Universiti (UPENA, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, 2009, hlm. 97
[10] . BadliHisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam dan Cabaran Semasa, Karisma Publication Sdn Bhd, Shah Alam, 2009, hlm. 123.
[11] . Mohd Jamil Bin Mukmin, Gerakan Islam di Malaysia, Kesinambungan, respons dan perubahan (1957-2000), Pusat Penerbitan Universiti (UPENA, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, 2009, hlm. 112
[12] . BadliHisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam dan Cabaran Semasa, Karisma Publication Sdn Bhd, Shah Alam, 2009, hlm. 142
* assignment untuk subjek metodologi Dakwah kepada orang Muslim, dibentang pada 6 Disember 2011.
0 comments:
Post a Comment